SEJARAH SEKOLAH


SEJARAH SEKOLAH KEBANGSAAN GAMBUT

Sekolah Kebangsaan Gambut, Batu Pahat (dulunya dikenali sebagai Sekolah Melayu Gambut) telah bermula pada awal tahun 1926. Walaupun sekolah ini terletak di Kampung Parit Simen, tetapi namanya terkenal sebagai Sekolah Kebangsaan Gambut. Nama ini diambil memandangkan kawasan tempat sekolah ini mula dibina terdiri daripada tanah gambut yang subur. Sekolah ini terletak di atas sebidang tanah yang berhampiran dengan selat Melaka. Kawasan pantainya sungguh menarik di mana ianya ditumbuhi pokok-pokok bakau dan pedada. Di situ juga terdapat sebuah pengkalan tempat nelayan di kampung ini turun naik membawa ikan dan udang.

Tanah tapak pembinaan tersebut dipunyai oleh seorang penduduk yang bernama “Embah Simin”. Dengan usaha orang kaya Jaafar bin Sidek, penduduk kampung ini telah bermuafakat untuk mendirikan sebuah sekolah di kampung ini. Pembinaan sekolah ini dilakukan secara bergotong-royong. Penduduk kampung sendiri bersama-sama membina sekolah ini. Pada mulanya, sekolah ini dibina dengan keluasan 24 x 60 kaki. Bahan binaan terdiri daripada bahan-bahan tempatan yang mudah didapati di kampung ini. Tiangnya menggunakan kayu nibong dan bakau serta atapnya ialah rumbia. Lantainya pula menggunakan papan. Murid-murid hanya menggunakan bangku panjang sewaktu belajar. Pada masa itu, guru besarnya ialah En. Saim bin Arif. Manakala muridnya pada masa itu ialah hanya 84 orang sahaja.

Pada tahun 1931, bangunan sekolah ini telah diganti oleh kerajaan. Keluasan bangunan itu ialah 24 x 50 kaki. Bangunan ini adalah bangunan sementara yang diperbuat daripada kayu dan diberi nombor PWD 191. Tetapi malangnya, sekolah ini serta segala peralatan dan perkakasnya telah dimusnahkan oleh tentera Jepun.

Pada tahun 1942, sekolah ini telah dibuka semula dengan bercampur aduk pelajaran. Iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Jepun dan Pendidikan Islam. Guru besarnya pada masa itu ialah En. Naim bin Shukran. Pada tahun 1946, kerajaan telah mendirikan sebuah sekolah baru yang diperbuat daripada kayu. Sekolah ini berukuran 24 x 60 kaki. Pada waktu itu, murid-murid sekolah ini hanya bersekolah sehingga tahun 4 sahaja. Oleh itu, bagi meneruskan pelajaran, murid-murid terpaksa pergi ke sekolah lain atau ke bandar. Hanya pada tahun 1952, sekolah ini telah menubuhkan darjah 5 dan 6. Pada masa itu, guru besarnya ialah En. Yunus bin Abd Manan. Pada masa ini, sekolah ini tidak mempunyai bilik darjah yang sesuai. Di antara bilik darjah dengan bilik darjah yang lain hanya disekat dengan skrin.

Pada tahun 1955, sekolah ini telah ditukar namanya kepada Sekolah Umum Gambut. Manakala pada tahun 1956, memandangkan bangunan yang ada tidak mencukupi untuk menampung murid yang kian bertambah, pihak kerajaan telah mendirikan sebuah lagi bangunan yang berukuran 24 x 60 kaki. Pada masa ini, bangunan sekolah ini telah dibina daripada kayu dan atapnya ialah asbestos. Keadaan sekolah ini agak lebih kukuh dan kemas. Walau bagaimanapun, sekolah ini tidak mempunyai bilik darjah yang tertentu. Skrin pemisah antara setiap kelas masih lagi digunakan. Kerajaan juga telah mendirikan dua buah rumah guru. Guru besar pada masa itu ialah Tuan Hj. Zin bin Hj. Abu Bakar. Pada tahun 1959, sekolah ini baru mewujudkan mata pelajaran bahasa Inggeris. Guru yang pertama ditugaskan untuk mengajar mata pelajaran tersebut ialah En. Nor Ahmad bin Nasir.

Penduduk kampung sekali lagi telah bergotong-royong membina sebuah bangunan sekolah yang dibuat daripada papan dengan beratapkan zink serta berlantaikan simen. Bangunan ini terletak berhampiran dengan rumah guru. Memandangkan pelajaran untuk murid-murid perempuan juga sama pentingnya, bangunan ini ditempatkan murid-murid perempuan. Penduduk kampung sentiasa bersatu membanting tulang, bergotong royong agar anak-anak mereka dapat belajar dan menerima pelajaran dengan lebih selesa dan sempurna. Sekolah ini diberi nama Sekolah Seri Fatimah.

Pada tahun 1960, Sekolah Seri Fatimah telah dicantum dengan Sekolah Gambut dan seterusnya diberi nama Sekolah Kebangsaan Gambut. Guru besarnya ialah En. Ayub bin Busu. Sekolah ini telah banyak memberi ilmu pengetahuan dan pengajaran kepada murid-murid di kampung ini. Masa berlalu, tahun berganti tahun, malangnya sekolah yang dibina ini dengan titik peluh orang-orang kampung telah runtuh kerana ditiup ribut kencang. Akhirnya satu majlis melelong bangunan Sekolah Seri Fatimah telah diadakan di bilik rehat guru pada 29 September 1979 dengan dihadiri oleh Pengerusi dan Ahli Jamaah Pengerusi, Ahli Jawatankuasa PIBG, Guru Besar serta Ketua Kampung. Bahan-bahan yang dilelong ialah seperti zink, kayu dan papan. Wang yang diperolehi telah dimasukkan ke dalam akaun Sekolah Kebangsaan Gambut.

Pada tahun 1979, Kementerian Pelajaran Malaysia telah meluluskan peruntukan sebanyak RM 166,000.00 untuk membina sebuah sekolah dua tingkat seperti yang ada sekarang. Bangunan yang mengandungi 6 bilik darjah, bilik guru, pejabat, bilik air serta bangunan kantin ini telah siap dibina pada pada tahun 1982.

Bangunan Sekolah Kebangsaan Gambut yang indah ini telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Ajib Bin Ahmad, DPMJ,DGSM,BSI, Menteri Besar Johor pada 1 November 1985.